New! beritaskskl.com powered by mediaSKS 2012
Mesyuarat Agung PIBG, Kursus Gubal Soalan dan Program Pembangunan Ping-Pong 2012 <Click Here>

Ahad, 30 Januari 2011

Evening Garden Party BKGS Siri 1

Evening Garden Party demikianlah satu program yang buat julung kali telah dianjurkan oleh Badan Kebajikan Guru dan Staff SK Setiawangsa(BKGS). Program ini diwujudkan bertujuan merapatkan hubungan sesama ahli agar dapat mewujudkan kesepakatan dan kesepaduan juga mewujudkan semangat setiakawan dan saling kenal mengenal antara satu sama lain.

Memandangkan aktiviti bagi siri pertama ini bertindih dengan hari cuti maka penyertaan menyeluruh ahli tidak dapat dicapai. Walaubagaimanapun, program yang julung kali diadakan ini dilihat begitu meriah dan memberi peluang kepada semua ahli yang hadir untuk beramah mesra, bergurau senda dan sebagainya.

Selain itu, BKGS turut menjadikan program ini untuk menyampaikan sumbangan kepada ahli yang terlibat. Terkini penyerahan Cek kepada En. Zulkifli Ibrahim yang bertukar ke SK Bukit Beruang, Melaka. Disamping itu, turut diadakan acara cabutan bertuah dan penyampaian hadiah.

Sebagai penasihat kepada BKGS, Tn. Hj Ruslan Madon berharap usaha murni mengadakan majlis makan-makan sambil beramah mesra atau dinamakan sebagai Evening Garden Party ini dapat diteruskan dan berharap penyertaan lebih ramai pada program EGP yang bakal berlangsung pada bulan Mac nanti.

Perjumpaan Ibu Bapa Murid Tahun 6

Pada hari Sabtu yang lalu bersamaan 22 Januari 2011, telah diadakan satu Program Perjumpaan Ibu Bapa tahun 6. Perjumpaan ini adalah bertujuan untuk menerangkan beberapa program yang telah dirancang untuk murid-murid tahun 6 sepanjang sesi 2011 ini. Disamping itu, perjumpaan ini juga bertujuan berbincang bersama ibu bapa bagi mendapat kesepakatan dalam memastikan kelancaran program yang telah dirangka.

Turut diselitkan taklimat berkaitan penggunaan zoom-a kepada ibu bapa selama lebih kurang 1 jam. Taklimat ini bertujuan menerangkan kepada ibu bapa akan kepentingan pembelajaran interaktif ini terhadap pembelajaran anak-anak di rumah terutama bagi mereka yang bakal menduduki UPSR tidak lama lagi. Ibu bapa turut didedahkan cara untuk memantau pencapaian anak mereka dan cara menggunakan program ini dengan berkesan.

Sebagaimana kejayaan pada tahun 2010 SK Setiawangsa telah berjaya mencapai keputusan 107 orang 5A mengatasi target yang disasarkan iaitu 100 orang 5A. Bagi tahun 2011 ini, sudah tentunya kami guru-guru di SK Setiawangsa ingin melihat pencapaian lebih baik dapat dilakukan seperti mana pencapaian terbaik yang pernah dicapai iaitu 118 orang 5A pada tahun 2008. Oleh itu, berdasarkan pencapaian tahun 5 pada tahun 2010 guru-guru tahun 6 meletakkan target seramai 110 orang 5A serta berharap agar pencapaian ini bertambah baik melebihi sasaran.

Bagi memastikan kejayaan berterusan, salah satu program utama yang telah dirancang pada tahun ini adalah 1 Rotan 1 Murid(1R1M). Program ini melibatkan murid-murid tahun 6 sahaja yang tidak menyiapkan kerja rumah tanpa sebarang sebab. Setelah berbincang bersama ibu bapa akhirnya persetujuan telah dicapai.

Sepanjang perjalanan program 1R1M sehingga ke hari ini, nampaknya reaksi positif telah berjaya diperolehi. Murid-murid dilihat labih fokus dalam pelajaran dan berjaya menyiapkan kerja rumah yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan. Hal ini terbukti memperlihatkan usaha guru-guru tahun 6 bukanlah sia-sia kerana telah berjaya membuahkan hasil pada peringkat permulaannya.

Jumaat, 21 Januari 2011

Majlis Jasamu Dikenang


Ucapan Khas Mewakili Seluruh Warga SK Setiawangsa KL

Satu Majlis Jasamu Dikenang telah berjaya dilangsungkan pada hari Jumaat bersamaan 21 Januari 2011. Majlis yang berlangsung bertujuan meraikan pertukaran Pn. Hjh. Siti Rokiah Salleh(mantan GPK1) dan Pn. Saadiah Md. Noh (GPK Hem) yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang berada lebih kurang lebih 5 tahun di SK Setiawangsa.

Kecemerlangan yang paling menyerlah termasuklah melaksanakan pengurusan yang terbaik untuk memastikan SK Setiawangsa bergelar Sekolah Cemerlang dan Sekolah Kluster Kecemerlangan dengan 3 bidang kebitaraan iaitu orkestra, mini teater dan ping pong.

Pekhidmatan cemerlang yang telah ditunjukkan seterusnya membolehkan mereka berdua dinaikkan pangkat. Bagi Pn. Hjh. Siti Rokiah beliau telah dilantik menjadi Guru Besar di SK Bukit Nanas 2 manakala Pn. Saadiah menjadi Penyelia Sekolah Swasta bagi PPD Keramat.

Tahniah diucapkan kepada mereka berdua. Semoga lebih seronok dan selesa bertugas di tempat baru dan melakukan yang terbaik seperti mana yang terbaik pernah dilakukan sepanjang berada di SK Setiawangsa.

Selasa, 18 Januari 2011

Pembelajaran Interaktif zoom-a

Program pembelajaran interaktif zoom-a merupakan satu kaedah pembelajaran melalui internet yang dapat membantu murid-murid untuk membuat latihan di rumah atau di sekolah dengan mudah. Ini kerana, murid hanya perlu memilih sendiri soalan-soalan yang telah tersedia tanpa memerlukan bantuan guru. Soalan-soalan yang dijawab juga akan menerima jawapan atau maklum balas segera berkenaan jawapan yang dipilih serta markah akan diperolehi dengan kadar yang lebih pantas. Kaedah pembelajaran melalui internet ini juga memudahkan guru untuk menyediakan soalan ujian dan mudah untuk mengenalpasti pencapaian murid berdasarkan setiap ujian yang diberi.

Pembelajaran interaktif ini sangat membantu dalam meningkatkan prestasi murid dari semasa ke semasa. Tidak dinafikan pencapaian terbaik dalam UPSR 2010 juga adalah dibantu oleh program ini yang memberi peluang kepada murid untuk meneruskan ulangkaji pada saat-saat akhir peperiksaan dengan menyediakan pelbagai soalan-soalan klon. Walaubagaimanapun ia perlu digunakan dengan bijak bagi mendapatkan hasil yang terbaik antaranya mewujudkan jadual belajar, mengulangkaji atau melebihkan tumpuan pada soalan-soalan yang masih tidak dikuasai. Di samping itu, ibubapa juga perlu bertindak sebagai pemantau kepada pembelajaran anak-anak sepanjang menggunakan program ini agar mereka tidak berasa terabai dan lebih bersungguh-sungguh apabila mendapat dorongan daripada ibubapa sendiri.

Dalam tempoh sehingga akhir Januari ini, murid-murid akan ditaklimatkan berkenaan cara penggunaan zoom-a dan akan diberi password serta id sementara secara berperingkat-peringkat dimulai dengan murid tahun 6 sehinggalah murid tahun 2. Taklimat ini dijangka dapat diselesaikan sekurang-kurangnya pada awal bulan Februari 2011.

Isnin, 17 Januari 2011

Projek Merata Padang Selesai

Bermula pada 23 November 2010 yang lalu, PIBG SK Setiawangsa dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan DBKL telah menjalankan projek membersih dan meratakan padang sekolah. Projek ini bertujuan bagi mewujudkan sebuah padang yang sempurna untuk kegunaan murid-murid SK Setiawangsa yang sekian lama tidak mempunyai padang sendiri. Ketiadaan padang mengakibatkan murid-murid terpaksa menjalankan beberapa aktiviti luar kelas termasuk pendidikan jasmani dan sukan di ruang yang sempit. Selain itu, latihan sukan juga hanya dapat dijalankan di Padang DBKL yang terletak lebih 200 meter dari sekolah.

Usaha gigih Angkatan Tentera Malaysia dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) telah membuahkan hasil apabila projek itu baru sahaja selesai pada 12 Januari 2011. Seterusnya pada 17 Januari 2011 satu mesyuarat AJK PIBG akan diadakan bagi tujuan membincangkan projek seterusnya iaitu membaja dan merumput kawasan padang yang dijangka memakan masa sekitar 6 bulan.

Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa bertindak PIBG yang begitu pro aktif untuk memastikan masalah padang sekolah ini dapat diselasaikan. Kami juga mengucapkan Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu memberi sumbangan tenaga dan wang ringgit serta idea-idea bernas sepanjang projek ini berlangsung.

Hari Pertama Persekolahan Sesi 2011

3 Januari lalu merupakan hari pertama bermulanya sesi persekolahan bagi tahun 2011. Menjadi kebiasaan pada setiap awal tahun murid-murid dengan pakaian sekolah baru ditemani ibubapa hadir ke sekolah seawal jam 7 pagi. Kehadiran begitu ramai ibubapa kebanyakkannya adalah untuk menemani anak mereka yang belajar di tahun 1. Selain itu, mereka yang hadir juga bertujuan untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuklah bayaran tambahan, membeli buku latihan anak dan sebagainya.

Perhimpunan rasmi turut berlangsung seperti biasa bermula jam 7.30 pagi. Guru bertugas En. Rosli Juhari mengucapkan selamat datang kepada murid-murid tahun 1 dan selamat kembali ke sekolah kepada murid-murid tahun 5 dan 6 yang telah bercuti lebih sebulan. Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan murid agar sentiasa menjaga disiplin sepanjang meneruskan sesi pembelajaran di sekolah ini.

Tn. Hj. Ruslan Madon selaku Guru Besar SK Setiawangsa turut menyampaikan amanat beliau dan mengingatkan murid agar sentiasa bersedia untuk belajar dan patuh pada peraturan-peraturan sekolah yang telah ditetapkan serta sentiasa menjaga kebersihan sekolah agar mereka dapat belajar dalam keadaan yang selesa.

Ahad, 9 Januari 2011

Hari Orientasi Tahun 1 SK Setiawangsa 2011

Pada 31 Disember 2010 yang lalu, SK Setiawangsa telah mengadakan Hari Orientasi Murid Tahun 1 bagi kemasukan 2011. Orientasi ini diadakan bertujuan untuk bersuai kenal antara murid dengan guru dan juga ibubapa dengan guru. Selain itu juga ibubapa dapat menguruskan beberapa hal yang berkaitan anak-anak termasuklah mendapatkan buku teks, bayaran tambahan, pembelian buku dan sebagainya.

NYDP PIBG Tn. Ir. Hj. Mufid Yasin turut berkesempatan memberikan ucapan selamat datang ke SK Setiawangsa terutama kepada Ibubapa yang baru mendaftarkan anak mereka buat kali pertama di sekolah ini. Selaku Guru Besar pula, Tn. Hj. Ruslan Bin Madon memberi sedikit ucapan dan memperkenalkan barisan pentadbir serta menerangkan tentang sistem baru yang diperkenalkan bagi menggantikan KBSR iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah(KSSR)kepada Ibubapa yang hadir.

Di samping itu, Beliau juga sempat menerangkan berkaitan LINUS iaitu Literasi, kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah (dengan menggunakan kata hubung 'dan' serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian. Manakala Numerasi Kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Pengenalan Blog Berita SK Setiawangsa

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua warga SK Setiawangsa.

Memulakan tahun baru 2011 dengan suatu yang baru. SK Setiawangsa pada tahun ini akan memulakan Blog Berita SK Setiawangsa bagi melaporkan beberapa perkara besar yang telah berlangsung sepanjang sesi persekolahan 2011 bermula Disember 2010 hingga November 2011.

Beberapa Informasi berkaitan cuti, peperiksaan dan aktiviti yang bakal dijalankan juga akan dimaklumkan di sini.

Semoga Ibubapa, guru-guru dan murid-murid dapat berkongsi maklumat dan memperolehi input-input penting dengan segera melalui kewujudan blog ini.

Bagi menerima terus maklumat berterusan melalui Blog Berita SK Setiawangsa ini, anda boleh klik ikon facebook atau twitter yang tertera di bawah.

Pencarian blog ini adalah mudah hanya dengan menaip beritaskskl pada google searh, kemudian ia akan memaparkan link ke blog ini.

Blog ini dalam proses kemaskini dan akan memulakan pengoperasian penuh bermula pada 17 Januari 2011. Harap maklum.